Monday, 21 September 2015

Impian Untuk Bekerjaya

ENTRI 2

TEKS: MUNIRAH YUSOFF

Mempunyai pekerjaan sejurus tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pada akhir 2010 merupakan impian yang saya ingin kecapi.  Malah, semasa sedang menyiapkan Projek Akhir Tahun lagi, saya dan rakan-rakan berusaha mencari pekerjaan. Namun, sehingga ke majlis graduasi pada Oktober 2011, di antara saya dan rakan-rakan yang rapat, saya sudah ketinggalan jauh tanpa pekerjaan yang diingini. Pada masa yang sama, hanya satu pekerjaan sahaja yang saya dapat melalui saranan kakak ipar di mana di tempat kerjanya sedang melakukan projek berkaitan kesihatan rakyat di Malaysia.

            Biarpun sudah beberapa kali menjalani sesi temuduga (kebanyakkan yang saya minta melalui Jobstreet.com), tetapi masih gagal untuk mendapatkan pekerjaan. Sehingga di satu sesi temuduga, hati saya tersentap dengan pertanyaan seperti ‘Kamu sudah hampir setahun tamat belajar, tetapi tiada langsung pengalaman kerja. Mengapa?.’ Ataupun ‘Kamu lulusan dari UNITEN, anak syarikat TNB, mengapa kamu tidak memohon kerja disitu?.’

            Persoalan-persoalan itu masih lagi saya hadapi hingga sekarang, malah hampir setiap temu duga. Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada menyoal diri sendiri ‘Mengapa susah sangat saya mahu dapatkan pekerjaan? Kenapa rakan-rakan lain mudah dan cepat sahaja mereka dapat?’. Hinggakan apabila orang sekeliling menyoal, saya mudah berkecil hati.

            Boleh dikatakan hampir setahun setengah saya menganggur (tidak termasuk semasa saya bekerja kontrak selama 3 bulan di tempat kerja kakak ipar). Pada ketika saya masih bergelut untuk mencari pekerjaan, saya menerima tawaran untuk menyertai Latihan Siswazah iaitu GEMS (Graduate Employability Management Scheme) pada Februari 2012. Di sinilah bermulanya kerjaya saya dan mampu untuk menambahkan lagi maklumat di dalam resume.

            Insya-Allah pada entri yang akan datang, saya dapat memberikan sedikit sebanyak pengalaman sepanjang menjalani Latihan Siswazah selama 8 bulan iaitu 2 bulan latihan insaniah dan 6 bulan penempatan pekerjaan.

Nota Hati: Saya berharap yang saya tidak akan putus harapan terhadap rezeki yang Allah kurniakan.Malah saya akan lebih berusaha dan berdoa supaya Allah memudahkan perjalanan hidup saya untuk tidak lagi membuat ahli keluarga saya susah hati.

No comments:

Post a Comment