Friday, 25 September 2015

Latihan Fizikal

Mini Gimnasium 

ENTRI 8


TEKS: MUNIRAH YUSOFF

FOTO: MUNIRAH YUSOFF


Semenjak saya menghabiskan pengajian di UNITEN pada 2010, jarang saya melakukan aktiviti yang melibatkan fizikal. Semasa di UNITEN, saya menyertai Silat dan inilah satu-satunya aktiviti yang paling saya suka. Selain dapat mengekalkan berat badan, ia dapat mengekalkan kecergasan kerana saya tidak melakukan aktiviti fizikal yang lain seperti berjoging.

          Tetapi semenjak 2011, saya tidak lagi menhadiri aktiviti Silat dan selain kerana komitmen semasa bekerja, saya jarang berjoging biarpun di kawasan perumahan ada disediakan kemudahan itu. Boleh dikatakan, kerana duduk dirumah ibu bapa, saya tidak terlalu memikirkan soal makanan, maklumlah sepanjang masa bekalan makanan tidak putus. :D

          Dan kini, saya akui berat badan sedikit naik dan ada beberapa helai baju dan seluar sedikit ketat. Malah kadang kala mudah letih dan pening kepala. Saya bukanlah seorang yang suka berjogig di kawasan perumahan tanpa teman. Di mudahkan keadaan, selepas ayah membeli threadmill, saya agak rajin untuk menggunakannya.
         
          Kebiasaannya, setiap sesi hanya 30 minit sehari kerana tidak mahu badan terlalu mengalami kejutan dan untuk mendapatkan rentak yang teratur. Saya juga mengawal pemakanan dengan mengurangkan pengambilan roti atau gandum dan tidak meminum air minuman 3 dalam 1 atau air manis. Ini antara punca yang menyebabkan berat badan saya mudah naik dan ‘kembang’.

          Apabila saya melakukan aktiviti fizikal, ditambah dengan pengawalan makanan, saya merasai badan semakin ringan dan tidak mudah letih. Malah seluar yang sebelum ini sedikit ketat, sudah longgar sedikit. Biarpun perubahan tidaklah terlalu mendadak, tetapi kesan nya tetap dirasai. Dan hati gembira bila badan sihat dan cergas.


Nota Hati: Saya masih meneruskannya dan nekad  untuk mendapatkan berat badan yang ideal.

No comments:

Post a Comment