Wednesday, 23 September 2015

Menjalani Latihan Siswazah (2)

Penempatan Pekerjaan (6 bulan)

ENTRI 4


TEKS: MUNIRAH YUSOFF

Selepas menjalani latihan insaniah (softskills) di Perak, saya ditempatkan pula di sebuah syarikat bertaraf MSC iaitu Time Engineering Berhad (TEB) di Cyberjaya selama 6 bulan. Sekali lagi saya masih berbelah bahagi kerana Cyberjaya bukanlah tempat pilihan untuk saya bekerja. Jika saya berulang alik dari Gombak ke Cyberjaya, perjalanan sehala sahaja sudah mengambil masa 50 minit hingga ke 1 jam. Itu tidak lagi termasuk dengan kesesakan lalu lintas. Tetapi, saya teruskan jua untuk bekerja di sana dengan menyewa di Putrajaya.

            Semasa di TEB, saya diselia serta diberi tunjuk ajar mengenai selok belok pengurusan projek (project management) terutamanya untuk dokumentasi. Biarpun keutamaannya adalah urusan Pengurus Projek, tetapi saya akan membantu dari segi memastikan setiap senarai yang diterima, disimpan dengan rapi serta lengkap. Walau tidak berkaitan secara langsung dengan Ijazah yang dimiliki, tetapi ia telah memberi gambaran secara kasar bagaimana sesebuah projek dijalankan.

            Hampir 6 bulan di TEB, saya ditawarkan oleh Ketua Jabatan untuk menyambung kontrak di sana. Kontrak selama 1 tahun iaitu Youth Employment Scheme (YES) Trainee Program, diterima dengan hati separuh rela.

Bergelar seorang pelatih lagi, untuk satu jangka masa yang panjang bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Beberapa kali saya dan rakan pergi ke sesi temu duga untuk mencari pekerjaan yang tetap atau secara kontrak. Kadang kala di waktu kami berputus asa dengan keadaan di pejabat, Ketua Jabatan tetap memberikan kami semangat agar bertahan dan menasihati supaya berfikir panjang baik buruk sebelum menerima sesuatu jawatan. Dan kami masih gagah lagi di sana.
Sebelum tamat kontrak 1 tahun, saya ditawarkan untuk ke Jabatan lain (DagangNet Sdn Bhd- salah satu anak syarikat Khazanah) dengan jawatan Careline Agent. Di sini, tugasannya lebih kepada menerima panggilan pelanggan yang menghadapi masalah dalam penggunaan laman sesawang (website) – melibatkan urusan kastam atau kargo di pelabuhan. Tetapi saya tidak bertahan lama disitu kerana tidak mahu terus berada lama sebagai Helpdesk. Kerana inilah, saya menyahut saranan ibu dan ayah untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah.


Nota Hati: Ketua Jabatan ada membuat penilaian terhadap saya - meningkatkan lagi kemahiran dalam penyampain dan komunikasi, kemahiran menulis dan penulisan laporan serta menambahkan pengetahuan teknikal. Kini, saya mengambil saranan itu secara serius, disamping melanjutkan pengajian secara formal, saya mengikuti kelas yang dianjurkan oleh Akademi Bekerja Dari Rumah (ADBR).

No comments:

Post a Comment